Perayaan pada hari kedua Gawai Dayak Hari_Gawai

Pada keesokan harinya, setiap bilik dalam sesebuah rumah panjang atau kampung akan bersedia untuk acara rumah terbuka kepada orang ramai dengan menghidangkan makanan dan minuman di bilik atau di ruai mereka. Orang Dayak akan terus berpesta sambil bersukaria sesama sendiri.

Jika ada para tetamu jemputan khas, acara menyambut tetamu akan diadakan oleh seluruh warga rumah panjang atau kampung. Selalunya, sebuah kuta yang berupa sebatang buluh dan digantungkan sehelai kain tradisi akan direntangkan pada jalan ke arah rumah panjang atau balai raya kampung. Selepas melafazkan puisi kata-kata untuk membuka kuta, ketua tetamu akan diminta untuk mencantas kuta tersebut dengan sebilah parang tajam. Acara simbolik ini menandakan semua halangan atau rintangan yang ada telah pun diatasi supaya rumah itu pun terbuka untuk tetamu.

Sebelum naik ke rumah, ketua tetamu sekali lagi diminta melembing seekor haiwan yang disediakan di kaki tangga rumah oleh pihak tuan rumah. Acara ini secara simbolik menandakan persembahan kepada para dewa and ampun-mengampuni antara pihak tuan rumah dan para tetamu dengan mengalirnya darah haiwan itu ke tanah di kaki tangga. Haiwan itu akan dibersihkan dan dimasak sebagai hidangan makanan untuk semua orang.

Bila saja tetamu masuk ke rumah, mereka terus dijamu minuman yang dinamakan air naik dan air haus oleh sekumpulan perempuan yang berbaris menyambut ketibaan mereka di kiri dan kanan kepala tangga atau pintu rumah. Adalah menjadi amalan tradisi bagi orang yang memberi minuman kepada seseorang akan minum atau merasa sedikit daripada air minumannya dahulu sebelum memberikan minuman kepada orang lain. Amalan ini membuktikan minuman itu adalah sedap dan selamat untuk diminum. Jika tidak, seseorang boleh menyuruh orang yang memberi minuman itu supaya merasa minumannya dahulu sebelum menerima pelawaan untuk minum.

Jika pemberi minuman enggan merasa minumannya duluan, orang lain berhak menolak pelawaan minumnya. Ini penting kerana dahulu sesetengah orang Dayak terkenal dengan ubat dan azimat pengaroh yang boleh bertujuan baik atau jahat terutamanya bila berdepan dengan orang yang tidak disenangi atau seseorang itu ingin mencuba kerberkesanan ubat atau azimatnya.

Satu lagi amalan acara jamuan minuman ini ialah semua orang menggunakan atau berkongsi satu gelas yang sama. Jadi, si penjamu minuman tak payahlah terpaksa minum dahulu sebelum setiap orang lain kerana dia boleh minum dahulu sekali sahaja pada permulaannya dan dengan nyaring sekali mengumumkan dia akan merasa minumannya duluan supaya didengar dan dilihat oleh sekumpulan orang lain yang ingin dijamunya. Pada masa sekarang, sebuah dulang berisi air akan dibawa bersama penjamu minuman untuk membasuh gelas atau cawan yang digunakannya menjamu minuman. Ada juga orang yang pandai meneguk minumannya tanpa bibirnya menyentuh gelas atau cawan itu.

Perarakan tetamu terus diadakan dengan berjalan sepanjang rumah panjang sebelum dipersilakan duduk di ruai ketua rumah atau ketua gawai. Perarakan ini didahului oleh sekumpulan penari tradisi lelaki dan perempuan yang memakai pakaian tradisi berwarna-warni, diikuti oleh rombongan tetamu dan diiringi oleh sekumpulan pemuzik tradisi. Sewaktu perarakan ini, semua penghuni rumah panjang akan berdiri dan berbaris di kanan dan kiri ruai sambil mengucapkan selamat datang dan berjabat tangan pda zaman sekarang. Ketua rumah atau ketua gawai akan melaungkan kepada semua untuk menerima para tetamu yang sedang diarakan itu: Sila sambut, sambutlah para tetamu dengan segala hormatnya!

Selepas para tetamu dipersilakan duduk, mereka akan didoakan oleh ketua rumah atau ketua gawai dengan memegang dan menghayunkan seekor ayam supaya kunjungan mereka membawa berkat dan malapetaka dihindari. Selesai doa ini, para tetamu terus dijamu minuman beberapa kali yang dinamakan air basuh, air untung dan air hormat yang harus diterima tetamu sebagai tanda hormat-menghormati. Lagi sekali, orang yang membahagi minuman itu akan minum duluan sebelum para tetamu. Selepas minum, upacara sajian "miring" yang ringkas diadakan untuk menyambut tetamu dan para tetamu diundang untuk menyediakan sajian itu untuk memohon ampun dan roh pembaziran.

Kemudian, acara ucapan rasmi dimulakan. Ketua tuan rumah menyampaikan ucapan alu-aluan, selamat datang dan selamat hari gawai kepada tetamu jemputan khas dan hadirin semua. Ketua tetamu pula akan diminta untuk membalas ucapan tuan rumah dan akan menyampaikan pertolongan jika ada. Selalunya jika orang kenamaan yang dijemput seperti pemimpin masyarakat atau ahli politik, mereka akan membawa buah tangan dengan memberikan sumbangan derma atau projek kecil.

Seterusnya, barulah acara makan dan minum tetapi sebelum itu sejenis ungkupan puisi membuka selimut makanan dan minuman akan dilafazkan oleh seseorang yang berbakat selalunya lemambang (pemuisi). Makanan dan minuman yang disediakan khas itu akan diselimuti dulu dengan kain tradisi "pua kumpu" yang akan dibuka setelah dipuisikan. Ini secara simbolik menandakan hidangan telahpun disediakan dengan rapi dan semua para hadirin dijemput untuk menjamu selera.

Pada masyarakat Dayak, adalah menjadi tradisi semua hadirin termasuk jemputan dan tuan rumah makan bersama-sama serentak. Sebagai tanda kemesraan dan hormat, adalah adat asal kaum Dayak menghidangkan makanan secara langsung kepada para tetamu berbanding cara layan diri atau "bufet" yang lazim sekarang ini. Para hadirin akan diminta duduk berbaris dalam deretan sepanjang ruai rumah panjang untuk majlis makan. Sekumpulan anak muda dari tuan rumah akan menghulurkan pinggan kepada semua hadirin secukupnya sebelum membahagikan makanan kepada semua satu demi satu. Cara ini dapat memastikan semua hadirin dapat makan dan hidangan makanan adalah mencukupi tanpa pembaziran makanan. Jadi, pihak tuan rumah dan para tetamu makan dan minum jamuan yang sama.

Bagi masyarakat Dayak, adalah menjadi adat hormat untuk menawarkan makanan dan minuman kepada tetamu walaupun seseorang itu mungkin adalah orang asing atau haiwan ternakan yang mungkin sesat jalan. Sekurang-kurangnya, nasi dan garam akan ditawarkan jika tiada lauk-pauk lain. Pada zaman dahulu, seseorang tangkapan perang boleh diangkat menjadi ahli keluarga penangkapya jika dia telah berkhidmat dan berjasa kepada tuannya melalui Gawai Batimbang (Pesta Mengangkat Ahli Keluarga). Sampai begitulah betapa masyarakat Dayak mesra hormat dan kasih sayang kepada orang lain dan sesama sendiri. Kalau ada silap salahnya akan diselesaikan dengan cara adat istiadat tradisi dengan memegang prinsip "Hal kecil dijadikan tiada manakala hal besar dijadikan kecil".[6]

Acara tradisi sabong ayam jantan biasanya akan diadakan oleh kaum lelaki semasa gawai. Seorang ketua sabong akan dilantik untuk menentukan kalah menang dan peraturan-peraturan sabong. Sebenarnya, acara laga ayam ini adalah amalan kepercayaan tradisi dan aktiviti masa lapang komuniti Dayak yang terkenal. Oleh itu, komuniti Dayak mempunyai pengetahuan mengenali jenis-jenis bulu dan sisik kaki ayam jantan yang menandakan nasib dan kemenangannya. Pada asalnya, acara sabong tradisi hanyalah untuk tiga kali perlawanan saja di bahagian verandah (tanju) rumah panjang dan selepas itu ia adalah acara bebas bagi yang berminat untuk disambung di tanah lapang di luar rumah.[7]

Sebelum gawai, ayam-ayam jantan yang baik-baik belaka akan dipilih untuk dipelihara khas dengan mengikat kakinya (ditambat dalam bahasa Iban) atau disimpan di dalam sebuah reban di luar rumah. Ayam-ayam sabung ini akan dibela sebaik mungkin, diberi makan minum secukupnya, dimandikan di air, dilatih berlawan dan akhir sekali diberi ilmu kebal sebelum melagakannya. Sebelum hari menyabung, seorang lemambang (pemuisi) akan diminta untuk mengdeklamasikan "renong sabung" pada malam sebelum hari menyabung yang mengisahkan sejarah menyabung ayam.

Pada zaman sekarang, acara kunjung-mengunjungi akan diatur supaya ada yang menunggu untuk dikunjungi dan ada yang dijemput untuk mengunjungi. Ini bertujuan mengelak percanggahan acara di antara rumah-rumah panjang sekitarnya. Tarikh=tarikh gawai tertentu akan diumumkan lebih awal demi mengelak percanggahan ini. Tarikh-tarikh gawai akan disusun satu demi satu.